Kuching - Atlet atlet kontinjen negeri Sarawak terutama mereka yang mewakili skuad badminton telah digesa untuk mengamalkan disiplin tinggi semasa bertanding di temasya Sukan Malaysia ke-19 (Sukma XIX) Perak nanti.

Ini telah dinyatakan oleh Presiden Persatuan Badminton Sarawak, Ybhg Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain pada majlis penyerahan bendera negeri dan tajaan kepada skuad Sarawak yang berlangsung di Menara SEDC Kuching baru baru ini.

Menurut Ybhg Tan Sri Abdul Aziz, atlet atlet Sarawak mestilah fokus apabila menghadapi tekanan dan saingan sengit di Sukma XIX Perak yang akan berlangsung dalam masa 8 hari lagi. Beliau turut memberi kata kata semangat kepada atlet atlet badminton Sarawak yang akan berdepan dengan saingan yang terdiri daripada mereka yang juga pemain pemain skuad kebangsaan. 

Walaupun skuad badminton tidak menetapkan sasaran kutipan pingat emas yang tinggi namun pemain pemain Sarawak dijangka boleh memberi saingan sengit dalam pertandingan berkumpulan dan individu yang akan berlangsung pada 9 hingga 21 September nanti.

Skuad badminton Sarawak adalah diantara yang akan berangkat awal ke Ipoh, Perak pada 7 September ini dan akan bertanding dalam perlawanan berkumpulan yang bermula pada 9 September ini.