Kuching - Lebih 600 atlet Sarawak telah menghadiri majlis pembukaan rasmi Kem Kontinjen Sarawak yang disempurnakan oleh Menteri Muda Belia dan Sukan, YB Datuk Snowdan Lawan yang juga merangkap Chef-de-Mission (CDM) ke temasya Sukan Malaysia ke-19 (Sukma XIX) Perak.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Encik Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan negeri Sarawak, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Dr Ong Kong Swee serta def def kehormat yang memikul tugas Penolong Chef-de-Mission (ACDM).

Dalam ucapan beliau, Datuk Snowdan mengesa atlet atlet kontinjen Sarawak untuk sentiasa fokus dalam usaha mencapai sasaran 77 pingat emas demi membawa balik gelaran juara keseluruhan Sukma XIX nanti.

Beliau juga menyeru agar atlet atlet Sarawak untuk sentiasa berdisiplin tinggi semasa bertanding di Sukma Perak dan bertekad untuk membuat yang terbaik dalam setiap perlawanan yang bakal mereka hadapi.

Semasa ditemuramah oleh para pemberita, Datuk Snowdan menyatakan lebih dari 100 atlet Sarawak sudah berangkat ke Perak termasuk mereka dari pasukan Wushu, golf, bolasepak dan badminton memandangkan tarikh pertandingan mereka akan bermula lebih awal.

Beliau serta Dr Ong pun akan berangkat ke Perak seawal 8 September ini untuk menghadiri mesyuarat pertama CDM kontinjen kontinjen negeri yang berlangsung pada 9 September ini.